“Kalau kau boleh muncul macam ni, mesti kau tahu banyak rahsia rumah ni, kan?”
Nadine bercakap sambil menyapu gel hitam pada kuku hantu wanita itu, seolah-olah pelanggan di hadapannya cuma seorang gadis biasa yang datang ke salon.
Aku berdiri di sebelah sambil memegang lampu UV portable. Tangan aku masih menggigil.
“Nadine, kau sedar tak siapa yang kau tengah buat manicure sekarang?”
“Pelanggan.”
“Dia hantu.”
“Pelanggan tetap pelanggan. Jangan diskriminasi.”
Aku hampir pengsan mendengar jawapannya.
Hantu itu pula langsung tidak peduli. Dia hanya memandang kukunya dengan penuh minat.
Selepas Nadine melekatkan batu emerald pada jari manisnya, bibir pucat wanita itu perlahan-lahan terangkat.
Dia tersenyum.
Aku terus berundur dua langkah.
“Nadine…”
“Apa?”
“Dia senyum.”
“Baguslah. Maksudnya customer satisfied.”
Kemudian sesuatu yang lebih pelik berlaku.
Wanita itu mengangkat tangannya dan menunjuk ke arah tingkat atas.
Selepas itu, dia menunjuk jam besar di dinding.
Jarumnya menunjukkan pukul 11.47 malam.
Kemudian dia mengangkat tiga jari.
Aku dan Nadine berpandangan.
“Tiga?” tanyaku.
Hantu itu mengangguk.
“Tiga apa?”
Dia menunjuk kamera telefon kami.
Barulah aku teringat.
Tiga video sehari.
Pagi, tengah hari dan malam.
Kami sudah menghantar video pagi dan tengah hari kepada bos, tetapi video malam belum dihantar.
Aku segera mengambil telefon.
“Alamak! Hampir lupa.”
Kami merakam video seperti biasa, menunjukkan tarikh dan keadaan rumah. Hantu wanita itu sudah hilang entah ke mana sebelum rakaman bermula.
Selepas video dihantar, mesej daripada bos masuk hampir serta-merta.
Bagus. Jangan keluar rumah malam ini walau apa pun berlaku.
Aku membaca mesej itu dua kali.
Nadine menjenguk dari belakang bahuku.
“Kenapa ayat dia macam menyeramkan sangat?”
Belum sempat aku menjawab, satu lagi mesej masuk.
Dan jangan naik ke tingkat tiga.
Kami serentak mendongak.
Rumah agam itu mempunyai tiga tingkat.
Sejak tiba, kami hanya menggunakan tingkat bawah dan bilik tidur di tingkat dua.
Tingkat tiga langsung tidak kami terokai.
“Dia baru cakap jangan naik tingkat tiga,” kataku.
Nadine menggigit bibir.
“Biasanya kalau orang cakap jangan pergi satu tempat…”
“Jangan sambung.”
“…itulah tempat yang paling kita nak pergi.”
“Nadine!”
Dia ketawa kecil, tetapi wajahnya tidak lagi selamba seperti tadi.
Malam itu kami tidur sebilik.
Lebih tepat lagi, kami cuba tidur.
Pukul 2.13 pagi, aku terjaga kerana terdengar bunyi sesuatu diseret di koridor.
Krrrkkkk…
Krrrkkkk…
Aku membuka mata.
Nadine masih tidur di sebelahku.
Krrrkkkk…
Bunyi itu berhenti betul-betul di hadapan pintu.
Kemudian terdengar tiga ketukan.
Tok.
Tok.
Tok.
Aku menutup mulut dengan selimut.
Tiba-tiba Nadine membuka mata.
“Kau dengar?”
Aku mengangguk.
Tok.
Tok.
Tok.
Nadine perlahan-lahan bangun.
“Jangan buka.”
“Aku tak nak buka.”
Tok.
Tok.
Tok.
Kemudian kedengaran suara seorang wanita dari luar.
“Nyah…”
Darah dalam tubuhku terasa membeku.
Itu suara ibuku.
Mustahil.
Ibu berada ratusan kilometer dari sini.
“Nyah, buka pintu. Mak datang.”
Air mata hampir keluar dari mataku secara refleks.
Nadine terus menekup mulutku.
“Jangan.”
Suara di luar berubah.
“Nadine…”
Kini suara ibunya pula.
Aku nampak seluruh wajah Nadine menjadi pucat.
“Mak tahu kamu ada di dalam.”
Tombol pintu mula bergerak sendiri.
Klik.
Klik.
Klik.
Kami berdua berundur hingga ke hujung katil.
Tiba-tiba tombol itu berhenti.
Satu bayang putih muncul di bawah celah pintu.
Hantu wanita yang kami buatkan kuku tadi.
Tangannya yang dihiasi rhinestone muncul menembusi pintu.
Dia mengangkat satu jari ke bibir.
Diam.
Kemudian dari luar terdengar jeritan yang sangat nyaring.
Pintu bergegar kuat.
Lampu padam.
Aku dan Nadine menjerit sambil berpelukan.
Beberapa saat kemudian semuanya kembali sunyi.
Apabila lampu menyala semula, hantu wanita itu sudah tiada.
Di atas lantai cuma ada satu batu emerald yang tercabut daripada kukunya.
Esok paginya kami hampir mengemas beg untuk pulang.
“Lima juta tak berbaloi kalau nyawa melayang,” kataku.
“Setuju.”
Untuk pertama kalinya Nadine tidak membantah soal duit.
Tetapi apabila kami membuka pintu utama, kereta yang membawa kami semalam sudah tiada.
Tiada teksi atau e-hailing yang mahu mengambil tempahan kami kerana lokasi terlalu terpencil.
Lebih pelik, setiap kali kami cuba berjalan keluar melalui pagar, selepas beberapa minit kami akan kembali berdiri di hadapan pintu rumah.
Seolah-olah jalan itu berpusing dalam bulatan.
Aku menelefon bos.
Dia tidak menjawab.
Aku menghantar mesej.
Satu tanda sahaja.
“Nyah…”
Nadine menunjukkan telefonnya.
Tiada internet.
WiFi masih bersambung tetapi tiada akses internet.
Kemudian jam besar di ruang tamu berbunyi.
Tepat pukul 12 tengah hari.

Telefon aku tiba-tiba menerima satu mesej.
Daripada bos.
Hantar video tengah hari sekarang.
Aku segera menelefonnya.
Tidak dapat disambungkan.
“Hanya mesej masuk, tapi panggilan tak boleh?”
Nadine mula kelihatan curiga.
Kami tetap merakam video.
Selepas dihantar, internet mati semula.
Malam kedua, wanita berpakaian putih itu muncul lagi.
Kali ini dia membawa sebuah bingkai gambar lama.
Dia meletakkannya di atas meja.
Dalam gambar itu terdapat sebuah keluarga kaya.
Seorang lelaki berusia sekitar 50-an.
Seorang wanita.
Dua anak lelaki.
Dan seorang gadis muda.
Aku mendekatkan wajah.
Gadis itu ialah hantu di hadapan kami.
“Apa nama kau?” tanyaku perlahan.
Dia mengangkat jari telunjuk lalu menulis di atas debu meja.
SURI.
“Suri?”
Dia mengangguk.
Kemudian dia menunjuk seorang lelaki dalam gambar.
Lelaki itu memakai sut hitam dan berdiri di belakang ayahnya.
Suri mula menggaru permukaan meja.
Matanya bertukar semakin gelap.
Nadine cepat-cepat memegang tangannya.
“Okay, okay. Bertenang. Nanti kuku rosak.”
Anehnya, Suri terus berhenti.
Aku hampir ketawa walaupun sedang takut.
Kemudian Suri menulis satu perkataan lagi.
BUNUH.
Senyuman kami terus hilang.
“Kau dibunuh?”
Dia mengangguk.
“Lelaki ni?”
Suri mengangguk lagi.
Selepas itu dia menunjuk tingkat atas.
Tingkat tiga.
Malam itu kami membuat keputusan paling bodoh dalam hidup kami.
Kami naik ke tingkat tiga.
Tangga menuju ke sana dipenuhi habuk tebal. Tetapi di tengah-tengah habuk itu terdapat kesan tapak kasut yang masih baru.
“Nyah…”
“Aku nampak.”
Ada manusia yang pernah naik ke sini baru-baru ini.
Di hujung koridor terdapat sebuah bilik berkunci.
Suri berdiri di hadapannya.
Dia menghulurkan tangannya.
Rhinestone pada kukunya berkilau dalam cahaya telefon.
Kemudian jarinya menembusi lubang kunci.
Klik.
Pintu terbuka.
Di dalam bilik itu bukan barang antik.
Sebaliknya terdapat monitor komputer, router, kamera CCTV dan beberapa kotak peralatan elektronik.
Aku terasa seluruh tubuhku sejuk.
“Kamera…”
Nadine menunjuk skrin.
Setiap bilik dalam rumah itu dipantau.
Ruang tamu.
Dapur.
Koridor.
Malah bilik tidur kami.
“Celaka!”
Nadine terus mencapai satu kamera kecil tersembunyi di belakang buku.
“Siapa yang rakam kita?”
Aku membuka folder dalam komputer.
Ada puluhan rakaman.
Bukan hanya kami.
Ada pasangan muda.
Sekumpulan pelajar universiti.
Dua lelaki.
Seorang wanita pertengahan umur.
Semuanya pernah tinggal di rumah ini.
Nama fail pula disusun mengikut tarikh.
Sesetengahnya berakhir dengan perkataan FAILED.
Tanganku menggigil ketika membuka salah satu fail.
Dalam rakaman itu, seorang lelaki sedang berlari keluar dari rumah pada waktu malam.
Kemudian rakaman bertukar kepada kamera luar.
Dia berlari ke jalan.
Sebuah van hitam menunggunya.
Dua lelaki keluar.
Rakaman tamat.
“Nyah…”
Nadine menunjuk satu fail lain.
Nama fail itu membuat darahku membeku.
NYAH_NADINE_FINAL_7DAYS.
Ini bukan kerja menjaga rumah.
Kami adalah subjek eksperimen.
Tiba-tiba skrin komputer menyala sendiri.
Satu video muncul.
Bos kami sedang duduk di dalam sebuah bilik.
“Kalau kamu tengok video ini, maknanya kamu sudah naik ke tingkat tiga.”
Dia tersenyum.
“Sayang sekali.”
Kemudian seluruh rumah bergema dengan bunyi pintu dikunci serentak.
Klik.
Klik.
Klik.
Suara bos keluar melalui pembesar suara.
“Pemilik rumah ini mahu bukti aktiviti paranormal sebelum hartanah dijual kepada sebuah syarikat media. Lima juta itu memang wujud. Tetapi untuk mendapatkannya, kamu perlu bertahan tujuh hari.”
Nadine menjerit ke arah kamera.
“Kau gila?!”
Bos ketawa.
“Setiap peserta sebelum ini gagal. Ada yang lari. Ada yang hilang.”
“Hilang?”
“Rumah itu tidak suka orang yang cuba pergi sebelum tujuh hari.”
Talian terputus.
Kami berpandangan.
Suri tiba-tiba menulis di dinding berhabuk.
DIA TIPU.
Kemudian satu lagi ayat.
BUKAN RUMAH.
MANUSIA.
Barulah kami faham.
Sebahagian kejadian menyeramkan itu memang paranormal.
Tetapi sebahagian lagi sengaja dicipta.
Bunyi dari siling.
Bayang-bayang.
Suara ahli keluarga.
Semuanya boleh dihasilkan menggunakan pembesar suara tersembunyi dan projektor.
Seseorang mahu menakutkan peserta supaya mereka melarikan diri.
“Tapi kenapa?” tanyaku.
Suri menunjuk gambar keluarga sekali lagi.
Kemudian menunjuk lelaki yang dikatakan membunuhnya.
Aku mengambil gambar itu dan memeriksa belakang bingkai.
Ada tulisan kecil.
Keluarga Tan, 1998.
Nama anak lelaki sulung tercatat di bawah.
Adrian Tan.
Aku mencari nama itu dalam komputer.
Jantungku hampir berhenti.
Adrian Tan ialah pemilik syarikat yang mahu membeli rumah ini.
Dia juga orang yang membayar bos kami.
Suri bukan sekadar hantu.
Dia saksi.
Dan rumah ini menyimpan sesuatu yang Adrian mahu hapuskan sebelum proses jual beli selesai.
Kami menghabiskan dua hari berikutnya mencari.
Akhirnya, di belakang panel kayu bilik Suri, kami menemui sebuah kotak besi.
Di dalamnya ada diari, beberapa surat dan kaset video lama.
Daripada diari itu, kami mengetahui Suri meninggal pada usia 22 tahun.
Secara rasmi, dia dikatakan terjatuh dari balkoni.
Hakikatnya, dia mengetahui abang sulungnya menyeleweng wang syarikat keluarga dan memalsukan tandatangan ayah mereka.
Pada malam kematiannya, mereka bertengkar.
Suri merakam pertengkaran itu menggunakan kamera video.
Rakaman terakhir menunjukkan Adrian menolaknya.
Dia jatuh dari balkoni.
Ayah mereka menyembunyikan kebenaran demi menjaga nama keluarga.
Selepas kematian kedua-dua ibu bapanya, Adrian cuba menjual rumah itu.
Tetapi dia tidak pernah menemui kaset tersebut.
Sebab itulah orang dihantar ke sini.
Bukan untuk membuktikan kewujudan hantu.
Tetapi untuk mencari bukti.
Malam keenam, sebuah van hitam berhenti di luar.
Tiga lelaki masuk ke dalam rumah.
Kami mematikan semua lampu.
“Mana dua perempuan tu?” terdengar satu suara.
“Bos kata mereka jumpa bilik tingkat tiga.”
Nadine mencengkam tanganku.
Kami bersembunyi di dalam almari lama bersama kotak besi.
Langkah kaki semakin dekat.
Tiba-tiba pintu almari terbuka.
Seorang lelaki berdiri di hadapan kami.
“Jumpa pun.”
Aku menjerit.
Tetapi sebelum dia sempat menarik kami keluar, lampu koridor pecah serentak.
Jeritan wanita bergema dari seluruh rumah.
Pintu-pintu terbuka dan tertutup sendiri.
Suhu jatuh mendadak.
Kemudian Suri muncul.
Bukan lagi seperti gadis pucat yang duduk diam ketika dibuatkan kuku.
Rambutnya terapung.
Matanya hitam.
Wajahnya penuh kemarahan.
Tetapi kukunya…
Masih cantik dengan rhinestone emerald.
Nadine sempat berbisik, “At least manicure aku tahan.”
“Nadine, sekarang bukan masa!”
Ketiga-tiga lelaki itu lari lintang-pukang.
Suri tidak mencederakan mereka.
Dia cuma memastikan mereka tidak dapat mendekati kami.
Pada pukul enam pagi hari ketujuh, internet kembali berfungsi.
Aku tidak menghantar video kepada bos.
Sebaliknya aku memuat naik salinan rakaman lama, diari dan rakaman CCTV malam sebelumnya ke cloud.
Kemudian kami menghubungi polis.
Siasatan yang menyusul membongkar lebih banyak perkara daripada yang kami jangka.
Adrian ditahan untuk siasatan berhubung kematian adiknya dan beberapa kesalahan lain. Bos kami pula rupanya dibayar sebagai orang tengah untuk membawa individu masuk ke rumah itu dengan alasan kerja mudah bergaji tinggi.
Lima juta yang dijanjikan?
Sudah tentu kami tidak pernah menerimanya.
Nadine mengamuk selama tiga hari.
“Trauma aku boleh terima. Hantu aku boleh terima. Tapi tipu pasal duit? Itu melampau!”
Beberapa bulan kemudian, rumah agam itu tidak jadi dijual.
Waris keluarga yang lain menyerahkannya kepada sebuah yayasan dan sebahagian bangunan dipulihkan.
Aku dan Nadine kembali bekerja di salon.
Kami fikir semuanya sudah tamat.
Sehinggalah pada suatu malam, ketika salon hampir ditutup, loceng pintu berbunyi sendiri.
Ting.
Aku mendongak.
Tiada sesiapa.
Kemudian sebuah kerusi pelanggan bergerak perlahan.
Di atas meja manicure, muncul sehelai wang kertas lama dan sebutir batu emerald.
Nadine memandang aku.
Aku memandang dia.
Kemudian satu tangan putih pucat muncul di atas meja.
Kukunya sudah panjang semula.
Satu rhinestone tercabut.
Nadine mengeluh sambil mencapai nail file.
“Aku dah cakap jangan buat kerja kasar. Tengok, rosak dah.”
Suri muncul perlahan-lahan di kerusi.
Kali ini matanya tidak lagi hitam.
Dia kelihatan seperti seorang gadis biasa.
Tenang.
Dia tersenyum.
Aku duduk di sebelah Nadine.
“Warna sama?”
Suri menggeleng.
Dia menunjuk satu botol gel merah jambu lembut.
Nadine tersenyum.
“Bagus juga. Dah lama sangat kau pakai warna gelap.”
Kami mula membuat kukunya.
Dan seperti biasa, Nadine mula bergosip.
“Eh Suri, kau tahu tak bekas boyfriend Nyah dah ada girlfriend baru?”
Aku terus menendang kakinya.
“Kau ni!”
Suri menutup mulut sambil ketawa tanpa suara.
Itulah kali pertama aku melihatnya benar-benar bahagia.
Sejak malam itu, dia tidak pernah muncul lagi.
Kadang-kadang pelanggan bertanya kenapa ada satu kerusi kosong di hujung salon yang kami tidak pernah benarkan sesiapa duduk.
Kami cuma tersenyum.
Kerana kami tahu kerusi itu bukan kosong.
Di atas mejanya sentiasa ada satu botol gel merah jambu dan sebutir batu emerald.
Untuk seorang pelanggan yang pernah menunggu hampir tiga dekad bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk seseorang akhirnya mendengar ceritanya.
Dan sejak pengalaman itu, aku belajar satu perkara.
Benda paling menakutkan yang kami temui di rumah agam itu bukanlah wanita bermata hitam yang boleh menembusi pintu.
Hantu cuma mahu kebenaran diketahui.
Yang sanggup menipu, mengkhianati keluarga, mempermainkan ketakutan orang lain dan menghapuskan nyawa demi melindungi kekayaan…
semuanya manusia.
